Thursday, February 5, 2015

Panduan Mengisi Borang UPU untuk Lepasan SPM

Assalammualaikum, hai!



30 HARI sebelum keputusan SPM diumumkan. Wahai Batch97, gelabah tak? Hah, mestilah nervous tahap langit ketujuh kan? Seperti yang kalian semua sedia maklum, 03 MAC 2015 merupakan satu tarikh penting yang bakal melakar satu sejarah baru dalam hidup kalian semua. Pada tarikh ini, keputusan SPM kalian akan diumumkan dan itulah yang akan menentukan masa depan kalian (dengan izin Allah SWT).

Untuk pengetahuan kalian semua (yang belum tahu), selepas mendapat keputusan SPM, kalian mestilah mengisi borang UPU di laman web berikut http://upu.moe.gov.my/web/pendaratan.phpuntuk memilih hala tuju hidup kalian selepas ini sama ada mahu melanjutkan pelajaran ke Universiti Tempatan, Kolej Komuniti ataupun Politeknik. Sekiranya tidak isi, pasti rugi besar. Isi sahaja. Rezeki Allah SWT yang tentukan. Doa banyak-banyak agar apa yang kalian mohon itu bakal menjadi kenyataan.

PANDUAN MENGISI BORANG UPU 2015

Langkah Pertama : Pergi ke cawangan Bank Simpanan Nasional berdekatan rumah kalian. Jangan pula mengada-ngada pergi ke cawangan yang terletak berbatu-batu jauh jaraknya dari rumah kalian ya. Itu buang tabiat namanya. Tujuan kalian ke sini adalah untuk membeli NOMBOR PIN UPU untuk mengisi borang UPU itu nanti. Sekiranya tidak ada nombor pin, jangan mimpilah dapat isi borang itu ya.

Langkah Kedua : Pergi ke laman web ini http://upu.moe.gov.my/web/pendaratan.php dan isi borang UPU yang disediakan di sana mengikut arahan yang telah diberikan.

Langkah Ketiga : Selepas selesai mengisi segala butiran diri dan keluarga, sila isi kelapan-lapan kotak pilihan bidang yang disediakan.

PERINGATAN PENTING!

Sebelum memilih bidang, tolong periksa terlebih dahulu maklumat berkenaan bidang yang dipilih itu sama ada bidang tersebut LAYAK dan SESUAI untuk diri kalian ataupun tidak. Hal ini demikian kerana semua bidang yang disediakan di dalam borang UPU itu tidak ada menyatakan sama ada ia untuk pelajar kelas Sains Tulen ataupun Sastera. Jadi, sila berhati-hati sebelum memilih bidang.

Contohnya, kalian memilih untuk melanjutkan pelajaran ke Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Asasi Sains Kemanusiaan, sebelum itu, tolong pergi ke laman web rasmi UIAM untuk memeriksa sama ada keputusan SPM anda layak ataupun tidak bagi memilih bidang tersebut. Kalian wajib membaca terlebih dahulu segala SYARAT KEMASUKAN setiap bidang yang dipilih sebelum membuat keputusan.

Langkah Keempat : Pastikan kalian mengisi kelapan-lapan bidang yang diminta. Jangan sesekali mengosongkan mana-mana kotak pilihan yang disediakan. Isi sahaja semua.

Langkah Kelima : Setelah berpuas hati dengan pilihan bidang yang dilakukan, bolehlah menekan butang HANTAR.

PERINGATAN :

Kalian perlu ingat bahawa kalian diberikan percubaan sebanyak DUA/TIGA kali untuk menukar bidang di dalam borang UPU tersebut. Jadi, buatlah keputusan yang benar-benar dapat memuaskan hati kalian. Jangan sudah terhantuk baru terngadah kerana sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian sudah tidak berguna. Sediakanlah payung sebelum hujan. Semoga kalian mendapat keputusan yang cemerlang sekaligus berjaya melanjutkan pelajaran dalam bidang yang diimpikan.

Sekian, terima kasih.


No comments:

Post a Comment

Copyright © ♡ Syafieqah Qafiesya ♡ Design by Muhammad Shahril