Tajuk Cerpen :
TANGISAN MISTERI BAS USANG
Penulis :
Nursyafiqah R. Novelis
Kring!
Loceng sekolah berdering kuat menjadi simbol tamatnya waktu kelas tambahan pada malam itu. Semua pelajar tingkatan 5 dan tingkatan 3 Sekolah Sri Bangsar mula berpusu-pusu keluar meninggalkan pintu pagar sekolah. Ada yang berjalan gaya Mak Jemah hendak ke pasar, tidak kurang juga yang berlari pecut mengalahkan Usain Bolt!
Dari kejauhan, kelihatan kelibat dua sahabat sedang mengatur langkah dengan penuh keayuan sekali. Maklumlah, sejak dinobatkan sebagai Tokoh Maal Hijrah Sri Bangsar, mereka mestilah sentiasa menjaga keayuan! Tidak boleh terlebih dos gedik! Nanti, tidak fasal-fasal telinga berdesing mendengar segala macam kontroversi yang menikam sanubari!
“Malam ini, saya akan balik naik bas. Abang saya tidak dapat menjemput saya di sekolah,” ujar Ina sambil mencebik sedih.
“Nasib kita samalah. Mama saya juga tidak dapat mengambil saya di sekolah. Tidak mengapa, saya boleh temankan awak naik bas,” balas Farah sambil menggamit mesra lengan Ina.
“Wah, betulkah? Kalau begitu, lebih baik kita ke perhentian bas sekarang juga. Takut-takut kalau terlewat nanti, tidak ada pula bas yang sudi menghantar kita ke rumah,” ucap Ina dengan penuh bersemangat sekali.
Tanpa melengahkan waktu walau sesaat, kedua-dua sahabat itu mula melangkah laju menuju ke perhentian bas. Suasana pada malam itu kelihatan agak menyeramkan. Maklumlah, sudah hampir pukul 10.30 malam! Jumlah pelajar yang tinggal pun sudah boleh dikira menggunakan jari. Memang sedikit sangat!
“Masih adakah bas yang mengambil penumpang pada malam-malam buta begini?” Farah mula menyatakan rasa kerisauannya kepada Ina. Jika difikirkan dengan logik akal, memang tidak ada bas yang mengambil penumpang pada lewat malam. Sekiranya ada pun, mungkin itu bas yang dipandu oleh sekumpulang bunian! Nauzubillah min zalik!
“Awak janganlah berfikiran negatif begitu. Kita mesti bertenang dan fikirkan yang baik-baik sahaja.” Ina memandang tepat wajah Farah.
Farah sekadar mengangguk lemah. Kalau ikutkan hati, Farah lebih rela menumpang kereta The Wannababes daripada terpaksa menunggu bas pada waktu-waktu sebegitu. Iya lah, dalam waktu lewat malam begitu, Farah dan Ina sangat berpotensi untuk diculik dan dijadikan tebusan oleh penjenayah yang tidak berperikemanusiaan!
“Apa lagi yang awak fikirkan itu? Berkerut-kerut sahaja dahi awak saya tengok.” Ina menegur kelakuan Farah dengan nada suara yang tegas. Dia tidak suka melihat Farah berkerut-kerut muka begitu. Sudah tidak comel macam Kak Ton! Nanti muka jadi cepat berkedut pula!
“Saya risaulah, Ina. Sudah hampir 15 minit kita tunggu di sini. Tetapi, satu buah bas pun belum kelihatan. Marilah kita balik sahaja ke rumah dengan berjalan kaki! Lagi pula, rumah kita itu bukannya jauh beribu batu! Hanya sekangkang kera sahaja!” Farah sudah mula bercekak pinggang, gaya tidak selesa. Dia mahu balik sekarang juga!
“Ish, tidak bolehlah begitu! Kalau balik berjalan kaki, itu lebih bahaya! Macam-macam perkara boleh terjadi kepada kita, tahu!” tegas Ina sambil menepuk lembut bahu Farah.
Farah melepaskan keluhan berat. Ada benarnya juga kata-kata Ina tadi. Debaran di dada semakin terasa. Farah benar-benar risau tahap dewa! Sekiranya ada seseorang yang tidak dikenali menegur mereka, pasti Farah menjadi orang pertama yang membuka langkah sejuta!
“Eh, itu macam lampu bas!” Ina menjerit kuat.
“Mana? Mana?” soal Farah sambil berusaha memanjangkan leher, cuba mencari arah lampu bas yang dimaksudkan oleh Ina tadi.
Dari kejauhan, kelihatan sebuah bas berwarna kuning langsat sedang menuju ke arah perhentian bas, tempat Farah dan Ina bertapa. Saat itu, Farah dan Ina sudah tersenyum lebar dan melompat gembira! Akhirnya, bas yang ditunggu-tunggu muncul juga!
Namun, kegembiraan yang dirasakan hanyalah sementara. Sebaik sahaja bas tadi berhenti di hadapan mereka, Farah mula menyedari keanehan yang terdapat pada bas tersebut.
“In … Ina, kenapa bas itu tidak ada pemandu?” Farah berbisik perlahan ke telinga Ina.
“Ish, adalah! Cuba awak tengok betul-betul!” Ina merengus marah.
Farah tersenyum malu. Disebabkan pemandu bas itu berkulit gelap dan berpakaian hitam, jadi Farah tidak perasan pula akan kewujudan pemandu bas itu.
“Sudah, jangan buang masa lagi. Cepat masuk ke dalam bas sekarang juga!” arah Ina sambil menarik lengan Farah menuju ke pintu bas yang berada dalam keadaan uzur itu.
“Tetapi.... bas itu nampak uzur sangatlah! Di dalamnya pun tidak ada lampu. Gelap semacam sahaja!” komen Farah dengan gaya gedik. Amboi, macamlah dia itu anak seorang Tan Sri, mahu memilih-milih jenis kenderaan pula!
“Please, Farah! Don’t judge a bus by it’s cover!” Ina sudah mula bercekak pinggang. Tanpa sebarang amaran, dia sudah pun menolak lembut badan Farah untuk segera masuk ke dalam perut bas itu.
Kala itu, Farah hanya mampu menelan air liur. Segala-galanya sudah cukup terlambat! Dia sudah pun berada di dalam bas tersebut. Mahu melompat turun, terasa tidak berani pula. Nanti, tidak fasal-fasal patah segala tulang milik Farah! Huh, tidak sanggup rasanya!
“Adik berdua ini mahu ke mana?” tanya pemandu bas yang berpakaian serba hitam itu.
“Err, hantarkan sahaja ke perumahan di hadapan sana, ya.” Ina membalas pertanyaan pemandu tadi dengan suara yang mendatar.
Sepanjang perjalanan pulang ke rumah, Farah tidak henti-henti terkumat-kamit membaca segala jenis doa. Selamatlah dia tidak terbaca doa makan di situ! Ina pula sekadar menggeleng kepala melihat telatah Farah yang ketakutan itu. Macamlah mereka ini sedang menaiki kereta penjenayah tersohor di Sri Bangsar!
Beberapa minit kemudian, kedengaran suara seseorang di tempat duduk paling belakang di dalam bas tersebut. Farah mula mengerutkan dahinya. Seingat dia, hanya dia dan Ina sahaja yang berada di dalam bas itu. Jadi, suara siapa pula yang didengarnya?
“Awak dengar tidak suara perempuan menangis?” Farah menyiku perlahan lengan Ina yang duduk di sebelahnya.
“Dengar. Agaknya, siapa ya?” Ina juga sudah kelihatan sedikit resah.
Mahu menoleh ke belakang melihat empunya suara, rasa tidak berani pula! Manalah tahu, itu suara Cik Ponti yang tumpang sekaki!
“Awak cubalah toleh ke belakang,” pujuk Farah.
“Ish, tidak mahulah saya!” balas Ina.
Semakin lama, suara perempuan menangis itu semakin kuat kedengaran. Farah dan Ina sudah berpeluk tubuh, berasa takut yang teramat sangat! Sesaat … seminit … mereka berdua akhirnya menoleh ke belakang dengan serentak! Hampir tercabut keluar jantung mereka apabila melihat wajah perempuan yang sedang duduk di kerusi belakang dalam bas itu.
Rupa-rupanya, ada penumpang lain yang berada di dalam bas itu bersama-sama mereka. Seorang perempuan cantik yang menangis kerana menonton Drama Korea melalui Ipad yang dibawanya. Huh! Fikirkan Cik Ponti mana yang tersesat naik bas!
TAMAT
No comments:
Post a Comment